MEMORI CINTA AMATLAH INDAH.....


"Siapa yang pernah bercinta
akan bercerita kisahnya tanpa henti..."
*****
Memori cinta amatlah indah dan ia adalah antara perkara yang paling sukar untuk dilupakan sepanjang hayat. walaupun akhirnya cinta itu membawa kecewa, insan akan ingat pada detik-detik gembira dan bahagianya; lalu kesalan muncul pula mendramakan memori, membawa emosi dari gunung-ganang yang tinggi ke lurah-lurah yang paling mendalam.

'Mana bisa aku lupa padamu!', kata insan yang pernah longlai dan lena oleh belaian cinta kasih. Saat dicintai adalah saat puitis dan romantis. Dalam kehidupan seharian, anda tidak akan menjadi sebegitu halus memilih kata-kata berbanding ketika anda mahu mengungkapnya kepada kekasih. Walaupun anda tidak pandai berpuisi atau mengungkapkan kata nan indah, anda akan memilih hanya ungkapan terbaik untuk kekasih anda.

Kisah cinta merupakan cerita yang paling mudah anda ingati, tetapi paling payah untuk anda ungkapkan betapakah manisnya perasaan anda ketika itu. Malah bijakpandai ada berkata bahawa saat itu dirasakan lebih manis masa ini, kerana anda tidak berpeluang lagi menikmatinya.
*****
"Aku Cinta Padamu. Itu Yang Aku Tahu."
{abbanNAMUS}

WISATA HATI (2)


Ya ALLAH Yang Maha Memiliki Hikmah,
mata kami selalu terbatas dalam menilai gerangan apa yang ada di sebalik suatu kejadian yang menimpa. Hanya-Mu yang mampu menunjukkan hikmah tersembunyi dalam tiap kejadian.

Ya ALLAH
sebagaimana senangnya kami menuai kesenangan, kuatkan juga hati kami bila kami menghadapi kesukaran. Jadikan hati kami begitu lapang dan ikhlas, agar kami tidak kehilangan pengendalian diri.

Ya ALLAH
apapun yang kami lakukan, sungguh di situ ada pemerhatian-Mu yang melihat perilaku kami. Bila kami salah, betulkanlah kami - luruskanlah... jika kami tersasar, maafkanlah kami... Amin!

APAKAH BUKTI CINTA???


Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih anda mahu. Mereka percaya, jika itu tidak berlaku; maka cinta itu tidak tinggi nilainya.

Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang dia mahu, apakah yang tinggal pada anda? Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda?

Cinta Sejati atau Cinta Suci tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri.

*****
"Aku cinta padamu, tak tahu sejak bila."
{Rany Sandhiya Kaur}

CINTA ITU BUKAN MENERIMA HATI....



Cinta itu bukan menerima hati.
Jika anda bercinta kerana menerima hati kekasih, anda terpaksa menjaga hatinya hinggakan anda terlupa pada perasaan hati anda sendiri. Cinta itu adalah nikmat yang anda rasai bila dua hati menjadi satu.

Sekiranya anda beri hati anda kepada kekasih anda dan dia pula memberikan hatinya, maka kedua-duanya terperangkap dalam kekeliruan dua hati, yang berada di jasad yang bukan miliknya.

Cinta yang hidup dan nikmat adalah cinta yang dirasai oleh hatinya sendiri, bukan oleh hati orang lain. Apa gunanya anda menerima hati, sednagkan anda tidak dapat menikmati keindahan cinta?

Hati anda tetap hati anda, hatinya adalah miliknya. tiada timbul masalah dia telah mencuri hati anda. Itu hanya perasaan anda.

'Kau selalu di hatiku' adalah lambang bahawa hati tidak bertukar tangan. Dan anda selalu pula dihatinya. Itulah antara nikmat cinta.

Cinta yang keliru itu berkata, 'Hatiku telah kau curi' lantas dia selamanya merana dalam bercinta, walaupun cintanya itu amat membahagiakan insan yang tidak memberi hati dan menerima hati. Maka ingatlah, jangan mudah memeberikan hati anda.
*****
"Jika kau pergi, aku terasa akan mati"
(Rany Sandhiya Kaur)

WISATA HATI


Allahumma ya Allah, Sungguh pada-Mu tiada terlindung rahsia hati, rahsia gerak, rahsia fikiran semua makhluk-Mu; termasuk hamba-Mu ini. Andai pada-Mu tidak memiliki Rahman dan Rahim, tidak memiliki kasih sayang, nescaya hanya keburukan hamba yang terlihat, yang terdengar.

Demi Nama-Mu Yang Menjaga Rahsia Keburukan, demi Nama-Mu Yang Menyembunyikan Kesalahan, jagalah hamba dan segenap orang yang hamba kenal dan yang tidak kenal, dengan Cinta-Mu. Jagalah kami semua dengan pengharapan penuh kepada-Mu. Hanya lautan ampunan-Mu tidak terbatas dan tidak bertepi untuk membuat kami tidak merasa putus harap pada-Mu.


Inilah 'hiburan' bagi kami, hamba yang berdosa, para pelaku kemaksiatan.....

CINTA ITU ANDA YANG TAHU....


CINTAKU, adalah ibarat rumput tersembunyi di gunung yang jauh, walaupun ia makin subur, tidak ada siapa yang tahu. *****

cinta itu anda yang tahu. tidak perlu anda beritahu kepada orang lain, hatta kepada orang yang anda cintai. Bila begitu, anda, tidak akan gelisah semata-mata untuk menyatakan cinta itu kepadanya. Kepada orang lain selain dia, lagilah tidak perlu anda beritahu, nanti anda akan jadi semakin gelisah akibata campurtangan orang lain.

Biarkan ia subur dan berbunga di hati anda. Cinta itu milik anda. Andalah yang melihatnya setiap hari dan menjaganya agar tetap subur. Orang lain tidak perlu tahu

Jika anda benar-benar mencintainya, ambil usaha untuk menikahinya. Itu, adalah langkah yang wajar bila anda cinta pada seseorang. Jika anda lakukan ini, tidak perlu anda berkata. "Cinta tidak semestinya berkahwin", kerana anda hanya akan menyatakan cinta anda sebaik saja anda menikahi kekasih anda.

Maka jika anda cinta kepada seseorang dan tidak jadi berkahwin, itu bukan kerana anda tidak pernah menyatakan cinta kepadanya. Tetapi dia bukan jodoh cinta anda.

'Biar dikatakan aku tidak tahu bercinta!'

BUKAN KITA YANG MENAKLUKI CINTA tapi...


cinta datang dengan lembut.
kita tidak akan berkata,"Aku rasa aku nak cinta pada dia".
cinta bukan begitu sifatnya. bukan kita yang menakluki cinta, tapi cinta yang menakluki kita.

tapi cinta itu datangnya dengan lemah-lembut, hingga tidak terasa bahawa kita sudah jatuh cinta. bila berlaku perubahan-perubahan pada emosi kita setelah itu, dan ianya berlaku berulang-ulang; barulah kita dapat menyedari hakikat bahawa hati sudah ditakluki oleh cinta.

malah ada yang berpendapat bahawa rasa cinta kita pada kekasih kita telah wujud sejak dari asal mula kejadian roh manusia. cuma sekarang baru berjumpa, berjumpa roh yang dipakaikan jasadnya. walau apapun pendapat mereka, yang penting pada kita ialah memahami bahawa kita tidak boleh memaksa diri untuk rasa cinta. ia datang sendiri.

cuma yang penting ialah bila kita cinta pada seseorang, cintailah dia mengikut cara orang yang selamat dalam cinta, yang berpandukan agama!

********

BIAR CINTAMU SELAMAT DAN TERHORMAT!


Cinta sejati tidak perlu diucap. Betapa ramai insan yang telah tersadai dalam hidup akibat terdengar ungkapan, ‘kaulah saja yang aku cinta’.

 

Mengapakah perlu anda ucapkan cinta. Anda takut dia lari?

Biarkan  dia lari. Jika dia benar-benar cinta kepada anda, dia tidak akan lari, walaupun tidak pernah terkeluar dari mulut anda perkataan ‘aku cinta padamu’.

 

Buat apa anda takut dia lari? Jika anda tahu untuk mencintai diri anda, anda tidak akan takut dia lari, kerana sebelum ini pun dia tidak ada. Yang ada pada anda ialah nikmat cinta, bukannya dia. Walaupun anda telah kenal padanya lama dulu, dia tetap dia dan anda tetap anda. Inikan pula anda hanya baru kenal padanya. Jangan mudah mengucapkan cinta.

 

Apakah tidak boleh menyatakan cinta?

Jawabnya boleh, tapi tidak penting, tidak sepenting bukti sebenar cinta. Bukti sebenar cinta itu menghargai insan yang anda cintai dengan perbuatan, agar dia tetap selamat dan terhormat.