Itulah soalanku. Pendek dan kecil, tapi soalan itu sendiri berat dan menimbulkan aneka macam fikiran. Itu bukan soalan yang aku quote dari mana-mana. Itu memang soalan daripada aku sendiri.
Aku pernah.
Dan percayalah saat aku menoleh dan ternampak ibuku menangis, terasa seolah-olah seluruh dunia ini menjadi putih kekayangan dan yang wujud di tengah-tengah putih itu hanyalah aku dan ibuku. Air mata jernih yang menitis dari mata-mata yang sering kutenung dengan kasih sayang itu seperti membawa bersamanya suatu beban yang menghentam tanah yang kupijak. Maka bergegarlah hatiku. Air mata yang menitis itu seolah-olah bertukar menjadi wap belum sempat ia menyentuh tanah, lalu ditiup angin halimunan yang datang ke arahku. Angin air mata itu meluncur menembusi diriku, melarikan bersamanya segala apa perasaan yang hadir dalam lubuk hatiku. Yang tinggal hanyalah perasaan sayu dan sedih.
Dan aku tenung wajah ibuku, dan tenungan itu tak kusangka memberikan suatu torehan yang begitu dalam ke atas hatiku. Ya Allah, sakitnya. Pilunya. Sekiranya aku pilu yang kurasakan sudah begitu menyeksakan, aku tertanya-tanya bagaimana pula seksa hati ibuku. Ya Allah berilah dia kekuatan, YA ALLAH!!! Aku benar-benar memohon kepadaMu, Ya Allah, kerana tiada siapa lagi dalam dunia ini yang mampu menolongku, melainkan Kau, Ya Allah... Siapa lagi kalau bukan Kau, Ya Allah...
Dalam kesayuan hatiku, aku sendiri tidak menangis. Mataku yang menangis hanya akan menambahkan lagi kepiluan ibuku. Namun, kubiarkan saja hatiku meraung. Kalau kumampu, mahu kutahan saja air mata itu daripada mengalir lagi. Kalau kumampu, mahu saja kurompak perasaan sayu dan pilu itu dari ibuku. Biarlah aku saja yang terseksa. Aku masih muda. Ibuku bukan muda lagi. Hati mudaku masih boleh menahan semua torehan itu. Aku risau hati ibuku teruk berdarah. Aku hanya mahu ibuku gembira. Aku hanya mahu ibuku gembira. Aku hanya mahu ibuku gembira.
Bagaimana aku boleh meninggalkan ibuku terseksa seorang diri? Serba salah dibuatnya hatiku. Pemergianku seolah-olah menjadikan aku pentingkan diri sendiri. Siapa lagi yang akan mendakap ibuku jika aku tiada di sisi ibuku? Siapa lagi yang akan memujuk ibuku? Siapa lagi kalau bukan aku? Siapa lagi, beritahu aku? Ya Allah, bagaimana, ya Allah? Diluah mati emak, ditelan mati bapa.
Aku tersenyum pilu dan melihat kau yang sedang membaca ini, dan berkata,
"Andainya kau pernah melihat ibumu menangis..."