* lantunan rasa isteri pejuang Dato’ Onn Jaafar *
Katanya……
Andai nafasku terhenti di sini
Tunaikan pesan akhir ku ini
Dengan simpanan kita miliki
Urusi jenazahku – kafani aku
Ke kamar persemadian; anak cucu usungiku
Mohon tiada iringan hormat negara buatku
Sebak si isteri berceritera……
Benar saja katanya,
Malam Jumaat seperti ayahnya
Dia menutup mata; pamit untuk dunia
Hanya 30 ringgit di tangan yang ada
Cuma 300 ringgit simpanannya…
Namun mencukupi wasiat disempurna
Jenazah digalas anak cucu meski sedepa
Tapi maafi dinda aduhai pendita sukma……
Kerna pinta sungguh bertalu kepala Negara
Tak mampu kutolak buatmu hormat akhir jelata…
Retak beribu hati isteri pejuang ini
Mahu kucari air mata untuk ditumpahi
Jika terhimbau santun pada anak isteri
Amat halus pekerti berbanding sutera
Hilang dayaku mengingati cinta nusanya…..
~AbShuhey Namus~
24 Ogos 2008
11.04 pm – Ahad
Jannatul Ajillah